Harta penipu RM4.3 juta disita

Kuala Lumpur: Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menyita harta milik suspek utama sindiket pelaburan Crude Palm Oil (CPO) yang ditahan di Kepala Batas, Pulau Pinang, Rabu lalu, yang keseluruhannya bernilai RM4.3 juta.

Antara yang disita termasuk ladang kurma seluas 101 hektar di Batu Kurau, Perak, wang tunai RM950,000, bot dan dua kenderaan mewah.

Pengarah JSJK Datuk Acryl Sani Abdullah Sani berkata, tindakan rampasan itu dilakukan mengikut Akta pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Katanya, suspek berusia 57 tahun yang juga ketua sindiket penipuan itu kini masih direman selama tiga hari bermula semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

"Kami percaya semua harta dan wang tunai yang dirampas daripada suspek adalah hasil wang kutipan kegiatan penipuan pelaburan itu," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2017 @ 5:02 PM

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~