BN mampu 『sapu bersih』 Sarawak, kata menteri

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun yakin bahawa BN mampu menyapu bersih semua 31 kerusi parlimen di Sarawak pada pilihan raya umum akan datang.

Keyakinan itu, menurut beliau yang juga adalah timbalan presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), adalah berdasarkan risikan yang dikumpulkan oleh parti-parti BN negeri.

"Tetapi untuk menang 29 daripada 31 kerusi Parlimen adalah realistik untuk BN Sarawak pada PRU-14 akan datang yang mungkin diadakan bila-bila masa dari sekarang," katanya yang dipetik akhbar

The Borneo Post.

Entulu yang juga adah ahli parlimen Selangau, berkata persiapan untuk pilihan raya umum akan datang adalah antara agenda yang bakal dibincangkan dalam pemukiman BN yang akan diadakan di Janda Baik, Pahang, pada hujung minggu ini.

Pada masa ini, BN memiliki 21 kerusi Parlimen di Sarawak, manakala DAP memegang lima manakala satu lagi dikuasai oleh PKR.

Sementara itu, Entulu berkata kemenangan besar kali ini akan mengukuhkan kedudukan parti-parti BN di Sarawak dalam rundingan agihan kuasa dengan kerajaan persekutuan.

"Dengan ini, kami maksudkan bahawa pelbagai inisiatif, seperti menggunakan bahasa Inggeris selain Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah; pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan kebebasan beragama yang menjadi amalan di Sarawak akan lebih difahami oleh negara-negara lain," katanya.

Walau bagaimanapun, laporan itu berkata Entulu enggan mendedahkan butiran isu-isu lain yang akan dibincangkan semasa mesyuarat khas itu, selain daripada berkata, sudah tiba masanya untuk BN untuk menilai kekuatan dan kelemahan mereka.

Ketua Pemuda PBB dan BN Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof juga yakin BN mampu mencatatkan prestasi lebih baik berbanding pilihan raya umum sebelum ini.

Fadillah yang juga ahli parlimen Petra Jaya memberi jaminan bahawa PBB akan membantu parti-parti komponen BN yang lebih lemah di negeri itu pada pilihan raya nanti.

"PBB adalah tunjang kepada BN negeri dan menjadi tanggungjawab kami untuk membantu parti komponen negeri lain," kata Fadillah.

Bagaimanapun, Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian lebih berhati-hati dengan ulasannya berhubung peluang BN di Sarawak.

Sim berkata pilihan raya umum tidak seperti pilihan raya negeri lalu, di mana partinya berjaya merampas kembali beberapa kerusi majoriti Cina daripada pembangkang.

參考來源

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~