PRU-14: Mungkinkah pengundi Sabah tukar kerajaan?

‘Saudara lihat nanti bagaimana rakyat Sabah main politik dalam PRU-14 ini, macam orang tawaf di Kaabah mereka bergerak dalam satu pusingan, satu arah’. Demikian kata seorang pemimpin sebuah NGO yang saya temui di Semporna minggu lalu apabila saya ajukan soalan mengenai politik Sabah.

Sejarah politik elektoral di Malaysia menunjukkan bahawa Sabah memegang rekod paling banyak menukar kerajaan menerusi PRU berbanding dengan negeri-negeri lain.

Kerajaan USNO pimpinan Mustapha Harun tumbang tahun 1976, kerajaan BERJASA pimpinan Haris Salleh tewas kepada PBS pimpinan Joseph Pairin Kitingan tahun 1986.

Kali terakhir perubahan politik berlaku di Sabah adalah pada tahun 1994 apabila ramai pemimpin PBS ‘menyeberang’ ke parti UMNO yang mula bertapak di Sabah semenjak tahun 1991.

Berdasarkan pola tersebut dan perkembangan politik mutakhir ini, ada yang berpendapat bahawa kerajaan Sabah mungkin akan bertukar tangan dalam PRU-14.

Jika dilihat kepada keputusan PRU-13, tanda-tanda ke arah itu memang ada. Para pengundi daripada kumpulan etnik Dusun misalnya membuat keputusan menolak PBS (kalah di enam kerusi DUN) dan UPKO (kalah di dua kerusi DUN) iaitu dua parti yang telah lama mewakili mereka sebelum ini.

PBS hanya menang 7 daripada 13 kerusi DUN yang ditandingi dalam PRU-13 yang lalu. Daripada tujuh DUN tersebut, sebanyak empat kerusi dimenangi dengan populariti di bawah 50 peratus.

Fakta di atas menunjukkan betapa masyarakat Dusun tidak puas hati dengan penyandang yang ada dan sehingga kini tidak menunjukkan tanda-tanda mereka akan kembali memberi sokongan terhadap PBS dan UPKO.

Beberapa pemerhati politik yang saya temui semasa berada di Negeri di Bawah Bayu itu baru-baru ini menyatakan nasib PBS mungkin akan lebih teruk selepas Joseph Pairin membuat keputusan untuk bersara daripada politik.

PBS dibayangi banyak isu melibatkan kepentingan masyarakat Dusun dan tidak selesai. Antaranya adalah seperti isu status pemberian kewarganegaraan, isu tanah adat dan sebagainya.

Selain masyarakat Dusun, masyarakat Bajau merupakan kumpulan pengundi utama yang boleh menentukan jatuh bangun kerajaan di Sabah. Komuniti Bajau sebahagian besarnya berada di sebelah pantai Timur Sabah seperti di parlimen Tawau, Kalabakan, Semporna, Silam, Kinabatangan, Sandakan, Kudat, Kota Belud, Tuaran dan Sepanggar.

Kebanyakkan kerusi UMNO terletak di kawasan etnik Bajau. Semasa PRU-13, UMNO tewas satu daripada 32 kerusi yang dipertandingkan, iaitu di DUN N25 Klias.

Semenjak tahun 2015, landskap sokongan masyarakat Bajau terhadap UMNO Sabah sukar diukur dengan jelas. Laporan yang diperoleh setakat ini menunjukkan Parti Warisan pimpinan Shafie Apdal nampaknya diterima baik oleh pengundi di kawasan pesisir pantai dan pendalaman Sabah.

Pemimpin NGO yang saya temui mengingatkan saya bahawa kesetiaan terhadap parti hampir tidak ada di kalangan pengundi Sabah, khususnya pengundi Bajau. ‘Parti politik sama dengan lepa, apabila rosak maka kita tukarlah dengan lepa yang lain’. Katanya sambil mengukir senyuman.

Lepa adalah nama panggilan untuk perahu yang banyak digunakan di Pantai Timur Sabah.

參考來源

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~