Jangan tukar kerajaan dalam keadaan marah atau sedih, kata Zahid

zahid-rakyatSIPITANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan rakyat agar belajar daripada kesilapan lalu supaya tidak membuat keputusan apabila berada dalam keadaan marah atau sedih kerana terbukti sebelum ini bahawa keputusan yang dibuat dalam keadaan demikian adalah salah.

Berucap merasmikan Festival Antarabangsa Gasing dan Tamu Besar (GATA) Sipitang 2017 di sini hari ini, Zahid berkata, untuk menukar kerajaan bukannya mudah sepertimana menukar baju yang juga perlukan ketelitian dari saiz dan ukuran, namun menegaskan ‘baju’ yang dipakai di Sabah sekarang sesuai dengan ukuran rakyat Sabah.

“Payungan politik yang kukuh dan baik itu akan dapat memberikan perlindungan kepada rakyat keseluruhannya kerana rakyat perlukan perlindungan yang terbaik daripada kerajaan yang terbaik,” kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ini.

Dipetik Bernama, Zahid juga berkata, hubungan akrab kerajaan Sabah dan kerajaan Persekutuan tidak mampu diganggu-gugat oleh mana-mana pihak termasuk “kuman politik”.

Beliau yakin mana-mana pihak sama ada individu atau tokoh tidak akan mampu merosakkan atau memutuskan hubungan yang cukup rapat itu yang telah terjalin sejak sekian lama.

“Rugilah jika ada orang, individu atau tokoh atau ‘kuman politik’ yang cuba untuk merosakkan hubungan yang cukup baik ini.

“Yakinlah, saya ingin menegaskan, sebagai orang yang membantu perdana menteri, tidak ada orang yang boleh memutuskan hubungan yang baik ini yang sudah sekian lama terjalin.

“Tidak ada sesiapa yang boleh memutuskannya. Usahalah bagaimana, kecuali dengan izin Allah Taala,” kata Zahid.

Justeru Zahid berkata, hubungan akrab kerajaan pusat dan kerajaan Sabah perlu terus diperkukuh bagi memastikan pentadbiran kerajaan yang diterajui BN sekarang terus kuat dan kukuh.

Katanya, hanya kerajaan yang kuat dan kukuh sahaja yang mampu menjamin kemakmuran rakyat serta pertumbuhan ekonomi yang baik sekali gus membawa kemakmuran kepada negara dan rakyat secara keseluruhannya.

Zahid berkata, Malaysia mengamalkan demokrasi dan membenarkan perbezaan pendapat namun perbezaan berkenaan perlu menjurus ke arah yang positif dan sekiranya perbezaan itu menjadi ‘parasit’ sehingga boleh merosakkan maka ia mesti ditolak.

“Sesuatu yang baik seharusnya dipertahankan ibarat sebuah rumah apabila bahagian bumbung, lantai atau dindingnya rosak tidak seharusnya rumah berkenaan dirobohkan sebaliknya perlu perbaiki bahagian yang rosak sahaja.

“Merobohkan rumah itu amat mudah namun untuk membangunkannya semula amat payah,” kata beliau yang kini menjalankan tugas-tugas timbalan presiden Umno.

參考來源

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~