Isu saman: Kenderaan menteri perlu pengecualian

Nur Jazlan

KUALA LUMPUR - Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berpendapat kenderaan rasmi menteri perlu diberi kelonggaran terhadap peraturan keselamatan jalan raya.

Ini kerana katanya, menteri dan timbalan menteri hanya menggunakan kenderaan rasmi kerajaan untuk urusan kerajaan dan mereka perlu berkejar ke daripada satu urusan ke satu urusan yang lain.

"Biasanya kami (menteri, timbalan menteri) hendak cepat. (Pemandu) kami terpaksa memandu laju dari satu program ke satu program yang lain kerana masa yang suntuk.

"Kalau ada polis tahan, biasanya kami akan berterus terang yang kami baru selesai hadir satu program dan perlu hadiri satu lagi program dalam masa terdekat. Biasanya pihak berkuasa akan beri kerjasama," katanya ketika ditemui pemberita di luar sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan saman terhadap kenderaan rasmi menteri oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Masir Kujat.

Terdahulu, Masir ketika bersidang dalam Dewan Rakyat di Parlimen hari ini berkata, mana-mana kenderaan rasmi menteri atau timbalan menteri yang dibawa melebihi had laju yang ditetapkan boleh disaman pegawai polis trafik.

Dalam pada itu, Nur Jazlan turut mengakui setakat ini, kenderaan rasmi kerajaan tidak pernah menerima saman daripada polis trafik.

"Kenderaan rasmi kerajaan hanya untuk urusan rasmi kerajaan. Hanya sekali-sekala kami terpaksa memandu lebih had laju. Saman ini sepatutnya difokuskan kepada pengguna jalan raya.

"Berapa kali kita pernah dengar kenderaan rasmi menteri terlibat kemalangan? Tidak pernah. (Tetapi) Kadang-kadang atas urusan kerajaan, terpaksa lajukan kenderaan. Dan atas urusan kerajaan, ia perlu dimaafkanlah," katanya lagi.

參考來源

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~