Mahathir Mahu Balas Dendam Demi Anaknya - Nazri Aziz

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad mengambil keputusan untuk menyertai perhimpunan anti-Najib disebabkan mahu membalas dendam terhadap keputusan Najib Razak melucutkan jawatan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah bulan lalu.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Nazri Aziz berkata, tindakan Mahathir tersebut bagi menutup malu dan menaikkan kembali maruahnya. Ini kerana disebabkan mulut becoknya itu, anaknya turut terkena tempias.

Jelas Nazri lagi, keputusan bekas ketuanya yang mahu menyertai himpunan tertutup anti Najib anjuran bekas menteri undang-undang, Datuk Zaid Ipahim tersebut, bertujuan untuk membalas kembali perbuatan yang diperlakukan kepada anaknya. Dan sebagai senjata untuk menggulingkan Najib.

“Anda kena ingat, Mahathir ni pendendam. Jadi dia malulah. Anak dia tak sampai sepenggal pun telah hilang jawatan Menteri Besar. Itu suatu perkara yang memalukan keluarga dia. Apa yang lebih malu, bila anaknya digugurkan.., tak ada siapa pun nak demonstrasi. Jadi mungkin bukan saja untuk balas dendam terhadap Najib, beliau menyertai Zaid Ipahim, seorang lagi political failure.

“Pada sayalah, dia nak buat sesuatu untuk tunjuk kepada orang ramai yang dia marah apabila Mukhriz digugurkan,” katanya.

Sebelum ini, Mahathir ada menyatakan bahawa dia akan memeriahkan perhimpunan tersebut. Ini kerana hanya tinggal satu jalan sahaja untuk menyuarakan bantahan terhadap kerajaan pimpinan Najib. Bukan itu sahaja, Mahathir akan menghentam Najib habis-habisan.

Dalam pandangan Nazri, perhimpunan tersebut pastinya tidak akan berjaya seperti yang dibayangkan Mahathir. Sama macam perhimpunan sebelum ini, semuanya hambar dan tidak mendapat sokongan rakyat.

Malah Mahathir juga sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa bagi menjahanamkan pentadbiran Najib. Sedangkan Majlis Tertinggi telah membuat keputusan untuk menggantung bekas Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Inikan pula Mahathir.

“Alah bisa tegal biasa. berpuluh kali dah dia buat himpunan begini. Asalkan dia ikut peraturan sudahlah. Bagilah kebebasan.

“Waktu dia jadi Perdana Menteri dia tak bagi kita demonstrasi… Jadi biarlah. Dia teringin nak demonstrasi. Saya sudah cakap dulu, bukan dia boleh buat apa pun. Baling batu dekat gelas pun tak pecah. Biarlah dia,” kata Nazri dengan sinis

參考來源

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~