3 maut teksi bertembung dengan 4WD AKSEM

KENDERAAN Toyota Fortuna milik Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Bukit Kayu Hitam dan sebuah teksi yang terbabit dalam kemalangan mengakibatkan pemandu dan dua penumpang dalam teksi berkenaan maut di hadapan perhentian bas CTC Changlun. - Foto Zuliaty Zulkifli JITRA: Seorang pemandu teksi dan dua penumpangnya maut selepas kenderaan mereka berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda (4WD) milik Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Bukit Kayu Hitam, di sini, petang tadi. Kejadian berlaku di Kilometer 6.9 Lebuhraya Utara Selatan berhampiran kawasan rehat CTC, di sini, kira-kira jam 3 petang itu turut menyebabkan dua yang lain cedera, termasuk pemandu 4WD, Koperal Mohd Nazeri Jasin, 52. Mangsa yang maut disahkan sebagai pemandu teksi, S R Krishnan, 64 dan dua penumpang iaitu S Krishnan, 56 dan S Ravi, 52, manakala seorang lagi penumpang teksi, Mohd Naufal Faris Ravi Abdullah, 52, cedera. Jurucakap polis berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila teksi itu membelok secara tiba-tiba ke arah kawasan rehat CTC menyebabkan 4WD itu yang dari arah bertentangan gagal mengelak dan berlaku pelanggaran. "Pemandu 4WD dan penumpang teksi yang cedera dihantar ke Unit Kecemasan Hospital Jitra, manakala ketiga-tiga mangsa yang maut dibawa ke Unit Forensik hospital sama untuk bedah siasat," katanya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian.

喜歡這篇文章嗎?立刻分享出去讓更多人知道~